WELCOME TO MY BLOG.

This blog is built for the purpose of Individual
Coursework for TMP6093:Mathematics For Children With Special Needs.


Thursday, March 25, 2010

Penulisan Ilmiah LO3: Arahan-arahan Pengajaran Untuk Kanak-Kanak Berkeperluan Khusus

1)Pengenalan
Kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran mempunyai kesukaran dalam membuat pengiraan matematik dan menyelesaikan masalah (Ackerman, Anhalt & Dykman, 1986). Kebanyakkan kanak-kanak ini akan ketinggalan dalam aktiviti pembelajaran mereka. Masalah ini dapat dikenalpasti dalam tempoh setahun atau dua tahun semasa aktiviti pembelajaran berjalan. Mereka akan mula menunjukkan progres yang mendatar dalam pembelajaran mereka (Cawley & Miller, 1989).

Kaedah pembelajaran tradisional yang berkonsepkan kaedah mengingat fakta dan kaedah pengiraan lama menambahkan lagi masalah kepada kanak-kanak istimewa ini (Mastropieri, Scruggs & Shiah, 1991). Maka, golongan ini akan hanya diajar setakat yang mereka boleh. Keadaan ini menyebabkan mereka akan ketinggalan dalam segala aspek.

Mengajar adalah suatu sistem penyampaian isi kandungan yang bertujuan untuk mahir dalam sesuatu bidang yang dikehendaki. Manakala arahan ditafsirkan sebagai menyampaikan pengetahuan secara sistematik. (Algozzine & Ysseldyke , 2006) Kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran memerlukan satu sistem pengajaran dan arahan yang khusus mengikut permasalahan yang dihadapinya. Kajian telah dibuat dan terbukti bahawa kanak-kanak ini boleh meningkatkan pencapaian matemarik mereka melalui arahan-arahan khas dan kaedah pembelajaran yang bermakna (Mastropieri, Scruggs & Shiah, 1991).

2) Memahami proses penyimpanan maklumat dalam memori
Sebelum membuat pemilihan arahan yang sesuai untuk kanak-kanak bermasalah pembelajaran, pemahaman tentang cara penerimaan maklumat oleh minda perlu difahami. Melalui model memori yang dibuat oleh Swanson (1987), proses penerimaan, transformasi, penyimpanan dan perolehan semula maklumat dapat difahami.

Pemerolehan maklumat akan dibuat melalui deria sensori. Maklumat tersebut akan dihantar ke dalam daftar sensori yaang disimpan dalm tempoh satu saat sahaja. Maklumat tersebut adalah dalam bentuk visual dan audio.

Setelah maklumat diterima, ia akan disimpan ke dalam memori jangka pendek di mana ia dapat menyimpan tujuh bentuk maklumat dalam satu masa. Jika maklumat tersebut digunakan dengan bermakna, maklumat tersebut akan disimpan dalam memori jangka panjang atau pun jika ia diperoleh melalui strategi yang betul, ia dapat di simpan di dalam memori jangka pendek. Jika perolehan maklumat yang dibuat pada awalnya tidak menggunakan strategi atau pendekatan yang bermakna, maka ia akan hilang dari ingatan dalam tempoh 15 saat. Pada fasa ini, kita dapat memahami kepentingan menggunakan strategi dan arahan yang khas dalam membantu kanak – kanak bermasalah pembelajaran dan aktiviti pembelajaran mereka.

Tedapat lima komponen utama yang memberi kesan terhadap pemprosesan maklumat iaitu visual, auditori, motor, memori dan tumpuan (Bley & Thorton, 1995).

2.1) Visual
Garnett (1993) mendefinisi visual sebagai pemprosesan maklumat melalui pengamatan deria mata. Masalah visual adalah berkaitan dengan mata atau penglihatan iaitu pelajar tidak dapat mengadaptasikan gambaran atau memproses maklumat melalui penggunaan deria mata. Sehubungan dengan permasalahan yang dihadapi oleh pelajar-pelajar ini, maka sebagai guru yang bertanggungjawab adalah perlu untuk mengambil langkah-langkah yang perlu bagi mengatasi masalah tersebut.

Terdapat empat jenis permasalahan berkaitan visual

1. Persepsi Ruang
Permasalahan persepsi ruang terjadi apabila seseorang individu itu tidak dapat untuk menterjemahkan objek di dalam sesuatu ruang dengan merujuk objek yang lain secara tepat. Justeru itu dia tidak dapat menyelesaikan masalah berkaitan pengumpulan semula bagi operasi asas matematik. Individu ini juga tidak dapat menganggar perbezaan saiz atau bentuk dan seterusnya tidak mampu menulis di atas garisan dengan tegak disebabkan masalah yang dihadapi ini.

2. Pembalikkan
Guru yang mengajar akan dapat melihat dengan jelas masalah pembalikkan semasa pembelajaran berlangsung iaitu kanka-kanak bermasalah pembelajaran ini tidak dapat untuk mengira atau menyusun nombor secara terbalik seperti 10, 9, 8, 7, 6...... Ini adalah disebabkan kanak-kanak ini mempunyai masalah berkaitan mata yang tidak dapat menangkap pergerakan yang berlawanan arah seperti kiraan di atas.

3. Pengenalpastian Dasar
Masalah pengenalpastian dasar berlaku apabila kanak-kanak tidak dapat membezakan mana yang sepatutnya difokuskan dan yang mana menjadi pengganggu. Antaranya ialah sukar untuk menggunakan kalkulator yang memiliki banyak simbol dan menyalin simbol matematik yang salah.

4. Diskriminasi Visual
Permasalahan diskriminasi visual merujuk kepada masalah tidak dapat membezakan sama ada persamaan atau perbezaan sesuatu objek. Ini termasuklah dari segi simbol, warna, bentuk, pola, saiz dan juga posisi sesuatu objek. Contoh yang jelas seperti yang diketahui iaitu bentuk nombor 6 yang disalah anggap sebagai nombor 9. Ini adalah disebabkan oleh penerimaan gambaran yang tidak jelas dalam menerima sesuatu maklumat melalui visual.

Strategi arahan dalam menyelesaikan masalah visual
Terdapat banyak kaedah bagi menyelesaikan masalah berkaitan masalah visual. Di antaranya ialah :
1. Bahan pengajaran yang akan ditunjukkan hendaklah besar, ringkas serta menarik supaya pelajar yang bermasalah ini boleh melihatnya dengan jelas.
2. Gunakan warna untuk menunjukkan perkara yang penting seperti untuk menunjukkan perbezaan huruf atau nombor-nombor maka warna-warna yang berbeza harus digunakan.
3. Bagi pembelajaran konsep seperti matematik, maka benda-benda maujud hendaklah digunakan.
4. Memudahkan soalan ujian atau lembaran kerja tanpa perlu meletakkan penggangu dalam setiap soalan.
5. Memastikan pelajar yang bermasalah visual ini duduk depan berhampiran papan hitam.
6. Guru tidak perlu menyuruh pelajar bermasalah visual ini untuk menyalin. Justeru guru harus menyediakan siap sedia nota atau soalan yang ingin diberikan.
7. Pelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang melibatkan semua deria.
8. Memberikan masa tambahan dalam sesuatu ujian kepada pelajar bermasalah visual ini.
9. Pastikan soalan yang diberikan kepada pelajar-pelajar ini tidak mengelirukan seperti di bawah ini
1. 3 + 5 = ___
Sepatutnya...
(1) 3 + 5 = ___

Didapati murid keliru dengan nombor 1. Oleh yang demikian nombor 1 itu perlu dibuat kurungan bagi memisahkan dengan soalan yang sepatutnya.

2.2) Auditori
Auditori didefinisikan sebagai keupayaan untuk menganalisa, menterjemah dan memproses maklumat yang diperolehi dari penggunaan telinga(Smith, 1994). Pendengaran merupakan deria yang penting dalam pembelajaran. Permasalahan akan timbul jika alat pendengaran tidak dapat digunakan sebaiknya disebabkan oleh masalah-masalah yang menghalang pembelajaran. Terdapat dua permasalahan yang akan timbul disebabkan masalah auditori ini iaitu :

Permasalahan 1:
Didapati pelajar-pelajar tidak dapat menyaring bunyi luar dalam usaha untuk memberikan tumpuan kepada sesuatu seperti guru yang sedang mengajar. Dalam hal ini pelajar yang mempunyai masalah ini tidak dapat menangkap sepenuhnya apa yang diajar oleh guru dan juga arahan-arahan yang diberikan. Ini akan menimbulkan kehilangan fokus terhadap pembelajaran yang sedang berjalan. Pelajar akan rasa terganggu oleh bunyi luar yang tidak diperlukan selain dari suara guru yang mengajar. Justeru itu adalah perlu kita sebagai guru untuk mencari strategi arahan yang sesuai untuk menyelesaikan masalah ini.

Strategi untuk mengatasinya:
Sebagai guru kita perlu peka dengan permasalahan yang timbul. Oleh itu salah satu cara ialah dengan menggunakan arahan lisan yang jelas dan kuat. Sebutan guru hendaklah terang dan lantang dengan kadar yang berpatutan supaya pelajar-pelajar boleh mendengarnya dengan jelas. Kita juga boleh menggunakan bilik darjah yang tidak begitu terdedah dengan bunyi dari luar. Satu cara lagi ialah hanya sebutan bunyi yang ingin dipelajari sahaja diajarkan. Sebutan bunyi yang lain tidak harus dicampurkan untuk mengelakkan gangguan pendengan pelajar-pelajar.

Permasalahan 2 :
Masalah berkaitan dengan pendengaran mengenai sebutan nombor yang berbeza seperti nombor ’sixty’ dengan ’sixteen’. Pelajar-pelajar yang bermasalah ini tidak dapat membezakan bunyi sebutan yang betul dan menyebabkan mereka tersilap. Ini berlaku disebabkan pelajar-pelajar ini tidak berupaya untuk mengasingkan beberapa bunyi serentak.

Strategi untuk mengatasinya :
Strategi arahan yang sesuai adalah menggunakan kad imbasan. Penggunaan gambarajah dalam pengajaran dan pembelajaran bagi menerangkan konsep matematik juga merupakan cara yang terbaik bagi mengatasi masalah ini. Guru juga perlu memainkan peranan penting dengan mengunakan pelbagai ton suara dan berusaha untuk meminimakan gangguan supaya pembelajaran tidak terganggu dan pelajar bermasalah ini dapat belajara dengan sewajarnya.

2.3) Memori
Keupayaan memori pelajar untuk menyimpan maklumat yang mereka terima amat penting supaya mereka dapat menggunakan maklumat itu semula apabila mereka berada di dalam situasi yang maklumat tersebut diperlukan. Memori didefinisikan sebagai keupayaan mengingati memori jangkan panjang dan dapat mengaplikasikannya dalam keadaan yang berbeza (Bob & Vaughn,1994). Antara masalah yang boleh dilihat dengan jelas oleh guru terhadap p[elajar yang menghadapi masalah inini adalah seperti berikut :-
a) Guru akan mendapati pelajar mereka faham mengenai maklumat yang mereka terima semasa sesi pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas tetapi mereka tidak dapat mengaplikasikannya jika sesuatu tugasan diberikan kepada mereka. Sebagai contoh pelajar memahami konsep tambah iaitu menggabungkan jumlah dua kumpulan benda, tetapi apabila diminta selesaikan masalah penambahan yang melibatkan nombor mereka tidak dapat aplikasikan pengetahuan yang mereka pernah pelajari bagi menyelesaikan masalah tersebut.

b) Guru akan mendapati pelajar yang mempunyai masalah memori mempunyai masalah untuk mengingati ingatan jangka pendek. Apabila sesuatu maklumat itu diperlukan mereka mempunyai masalah untuk mengingat semula. Contohnya pelajar tidak dapat mengingat konsep atau rumus yang baru diajar untuk digunakan bagi menyelesaiakan masalah metematik yang diberi.

c) Pelajar juga menghadapi masalah untuk mengingati ingatan jangka panjang. Sebagai contoh pelajar lupa langkah-langkah algoritma dalam masalah matematik yang melibatkan penyelesaian masalah harian.

2.4) Motor
Apabila kita menyebut mengenai motor, ia mempunyai hubungkait dengan anggota tubuh badan manusia. Yang dimaksudkan motor di sini adalah pergerakan anggota badan dalam menjalankan sesuatu aktiviti. Dalam konteks masalah motor di kalangan pelajar berkeperluan khas, ianya melibatkan cara pelajar tersebut menggunakan anggota badannya bagi menjalankan sesuatu aktiviti pembelajaran. Dalam pembelajaran, motor didefinisikan sebagai keupayaan seseorang pelajar itu mengguna dan mengkoordinasikan otot-otot badannya untuk melakukan sesuatu pergerakan atau keupayaan seseorang pelajar itu menggunakan otot-otot badannya untuk memanipulasiakan objek ( Smith,1994).
Antara beberapa masalah yang boleh dilihat dengan jelas dikalangan pelajar berkeperluan khas yang mempunyai masalah motor adalah seperti berikut :
a) Ketika pelajar tersebut menulis huruf atau nombor, biasanya pelajar tersebut akan menulis dengan lambat. Perkara ini berlaku kerana pelajar tersebut memerlukan masa yang lama untuk menulis dari satu huruf ke satu huruf yang lain. Pelajar itu pula tidak dapat menulis huruf atau nombor yang dikehendaki dengan betul dan tepat. Keadaan ini menyebabkan tulisan pelajar tersebut sukar dibaca.
b) Biasanya pelajar yang mengalami masalah motor ini suka menulis nombor dalam saiz yang besar. Mereka tidak dapat menulis nombor yang diarahkan dengan tepat ke dalam kotak yang disediakan.
c) Selain daripada menulis huruf dan juga menulis nombor, kita juga dapat melihat kesukaran pelajar tersebut ketika menjalankan aktiviti yang melibatkan kemahiran menggunting dan juga menampal.
d) Pelajar juga didapati tidak mampu untuk menyalin ayat-ayat yang panjang dan tidak dapat menyalin ayat yang diberi dengan kemas ( Wood,1998 )
e) Pelajar juga didapati mudah berasa letih apabila selesai menyalin atau menulis sesuatu perkataan yang diberi.

2.5) Tumpuan

Zental dan Ferkis (1993) mendefinisikan tumpuan adalah keupayaan menumpu, kawalan impuls dan hiperaktif. Ini adalah bagaimana murid dapat memberi tumpuan ataupun fokus terhadap sesuatu pembelajaran ketika proses pengajaran dan pembelajaran berlaku. Seperti kita lihat persekitaran di bilik darjah, sekiranya terdapat gangguan dari kawan yang bermain, murid lain juga ingin turut serta bermain. Begitu juga dengan murid hiperaktif yang tidak boleh duduk diam, di mana menganggu murid untuk memberi fokus terhadap pembelajaran. Kawalan impuls adalah bagaimana murid memberi tumpuan yang melibatkan deria seperti pendengaran dan penglihatan. Gangguan daripada situasi ini memberi kesan terhapad tumpuan murid semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku.

Guru yang mengajar dalam kelas adalah orang yang paling sesuai membuat pemerhatian ke atas murid-murid yang menghadapi masalah pembelajaran. Melalui pemerhatian, guru boleh mengesan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh murid-murid (Mok Soon Sang, 1998). Bagi guru yang mempunyai pendedahan dan prihatin terhadap murid-muridnya, murid-murid yang mempunyai masalah pembelajaran kemahiran membaca, menulis dan kemahiran mengira dapat dikesan oleh guru-guru. Murid-murid yang mempunyai masalah dalam penguasaan kemahiran mengira boleh diperhatikan daripada tanda-tanda berikut:
i) Tidak menunjukkan minat dalam membuat kerja rumah. Kerja tulisannya pun tidak kemas.
ii) Mengambil masa terlalu lama menjawab soalan matematik, sama ada secara lisan atau bertulis.
iii) Tidak boleh menjawab soalan congak secara spontan.
iv) Meniru kerja bertulis daripada rakan sedarjah.

3.0) Kognitif dan Metakognitif

Kognitif didefinisikan sebagai pemahaman dan keupayaan berfikir atau memahami apa yang dilihat dan didengar serta bentuk maklumat dari aspek gerak tubuh dan sosial. Metakognitif pula menekankan kesedaran dalaman untuk memilih pendekatan menyelesaikan perkara yang difahami. Ia boleh dikatakan sebagai ”berfikir apa yang difikirkan’. (Algozzine & Ysseldyke , 2006)

Pada tahap kognitif, kanak-kanak bermasalah pembelajaran akan menghadapi kesulitan untuk memahami masalah yang diberikan. Mereka menghadapi masalah memilih strategi atau kaedah penyelesaian yang betul dan tepat (Brownwell, Mellard & Deshler, 1993). Pengkaji telah menyenaraikan enam kesulitan yang mungkin dihadapi oleh kanak-kanak ini.
• Menilai keupayaan sendiri dalam menyelesaikan masalah.
• Mengenalpasti dan memilih strartegi yang sesuai.
• Menyusun maklumat.
• Memahami proses menyelesaikan masalah.
• Menilai ketepatan masalah.
• Mengeneralisasikan strategi kepada situasi yang baru.

Montague, Bos dan Doucette (1991) telah memperkenalkan dua strategi dalam membantu kanak-kanak bermasalah pembelajaran matematik khususnya melibatkan pemikiran kognitif.

1.Strategi ”Think Aloud”Strategi ini penting kepada kanak-kanak yang mempunyai masalah memahami konteks sesuatu masalah disamping memilih strategi penyelesaian yang tepat. Think Aloud bermula dengan kanak-kanak tersebut membaca soalan dengan kuat dengan bantuan guru sebagai pembimbing. Guru hanya bertindak menyoal apabila perlu sahaja. Kanak-kanak tersebut akan menerangkan apa yang difahami tentang masalah tersebut. Jika dia mempunyai masalah, guru akan membimbing tapi bukannya memberikan jawapan. Murid akan menerangkan pemahaman mereka secara lisan dan juga menunjukkan jalan kerja secara penulisan. Kaedah Think Aloud membantu guru melihat corak penyelesaian yang dibuat oleh kanak-kanak tersebut.


2.Strategi pengajaran metakognitif
Kanak-kanak yang bermasalah dengan kesulitan metakognitif akan lebih peka melalui beberapa latihan yang dicadangakan oleh Brownwel(1993). Kanak-kanak ini boleh diajar mengenalpasti dan memilih strategi yang sesuai. Guru perlu membuka minda kanak-kanak itu agar cuba mengingati masalah-masalah penyelesaian yang pernah dia selesaikan sebelum ini yang ada persamaan.

Penyusunan maklumat yang betul dapat membantu murid-murid memahami soalan dengan baik. Antaranya adalah melalui lukisan graf atau jadual yang mewakili data. Penggeneralisian strategi kepada situasi yang bersuaian juga membantu dalam menyelesaikan masalah. Guru perlu membantu murid menyenaraikan strategi-strategi yang ada bagi menyelesaikan masalah yang ada persamaan kaedah penyelesaiannya.

Selain itu, beberapa kaedah mnemonic dapat membantu dalam membuat satu model penyelesaian. Antaranya adalah mnemonic DRAW dan STAR.

4.0)Kesimpulan

Pada awalnya, mengajar kanak-kanak bermasalah pembelajaran boleh mendatangkan rasa kekecewaan. Mengajar mereka dilihat sebagai sesuatu yang mustahil. Setelah guru atau pengajar belajar memahami keperluan kanak-kanak ini, segalanya menjadi mudah. Terdapat pelbagai strategi dan arahan-arahan dalam menangani permasalahan ini. Perbincangan yang telah dibuat di dalam tajuk ini dapat membuka minda dan menawarkan kepelbagaian teknik pengajaran dan pembelajaran khusus untuk kanak-kanak ini.




No comments:

Post a Comment